Sunday, August 9, 2009

Persiapan Ramadhan: Korek Hidung/Telinga Tidak Batal Puasa?



Persoalan 1: Mengorek Telinga/Hidung Tidak Membatalkan Puasa


Terdapatnya kepelbagaian pendapat dalam hal memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan membatalkan puasa. Antara yang berpendapat memasukkan sesuatu didalam rongga tidak membatalkan puasa adalah Syaikh Attiyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), Dr. Yusuf al-Qardhawi (Ketua Majlis Fatwa Eropah), Syaikh Mohammad Salih Al-Munajjid, Dr. Muzammil Siddiqi (Ketua Majlis Fiqh Amerika Utara) dan ramai lagi.

Dalam membahaskan mengenai perkara-perkara yang membatalkan puasa,Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata:

Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebut pernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur’an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya dengan sebaik-baiknya.

Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi‘e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama’ masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur’an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. [Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma’ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108]

Sememangnya tiada dalil jelas dari al-Quran mahupun as-Sunnah yang melarang daripada mengorek hidung ataupun telinga. Bagi yang berpendapat ianya membatalkan mereka bersandar kepada dalil:

Sempurnakanlah wudhu’ dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa. [Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…).]

antara hadith lain
...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abud Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)

Daripada sabda Rasulullah s.a.w “…menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa.” Difahami sebagai dilarang menyedut air ke dalam hidung ketika sedang berpuasa. Jika dimasukkan air maka perbuatan tersebut membatalkan puasa. Pemahaman ini kemudian diluaskan kepada semua rongga tubuh berdasarkan qiyas (analogi).

Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada “bersungguh-sungguh” dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu’ dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga sampai ke tenggorok dan ditelan sebagai “minuman.” [Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117. Dinukil dari Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa, Jahabersa]



PERKARA YANG JELAS MEMBATALKAN PUASA


Perkara yang sememangnya jelas membatalkan puasa adalah sepeti dalam firman Allah:

Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).[al-Baqarah 2:187]

Dan kalau dilihat jelas bahawa mengorek telinga atau memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan tidak termasuk dalam perkara-perkara yang ditegah ketika berpuasa. Adapun persetubuhan sekalipun bukanlah perbuatan makan atau minum tetapi larangannya disebut secara jelas di dalam ayat di atas. Juga di dalam sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) meninggalkan makanan kerana Aku dan meninggalkan minuman kerana Aku dan meninggalkan kenikmatan kerana Aku dan meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku. [Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no: 1897 dan dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-‘Azami.]

Hadis di atas juga menjadi dalil mengapa merokok, penyalahgunaan dadah dan segala yang sewaktu dengannya yang secara psikologi memberikan kepuasan atau kenikmatan yang mengenyangkan dan/atau menghilangkan dahaga bagi nafsu, membatalkan puasa. Sekalipun ianya tidak mengenyangkan, menghilangkan dahaga atau perbuatan bersetubuh.


Kesimpulan Pandangan 1


Sebagai kesimpulan mengenai isu mengorek telinga ketika berpuasa saya ingin menukilkan fatwa Syaikh Attiyah Saqr:

Puasa tidak terbatal dengan meletakkan jari ke dalam telinga atau kerana membersihkannya dengan cotton pad atau dengan larutan. Memandangkan tiada yang dapat meresap melalui gegendang telinga dan sampai kepada kepala, yang mana ianya juga bukan organ menerima makanan yang menyuburkan tubuh badan. [rujuk: http://www.islamonline.net ]

Di atas hujah-hujah yang sama ulama’-ulama’ mutakhir menyatakan perbuatan memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan (sekiranya ia tidak sampai ke perut) tidak membatalkan puasa.


Persoalan 2: Berendam Dalam Kolam Sewaktu Berpuasa


Saya percaya apa yang dimaksudkan frasa di atas adalah membasahkan diri atau mandi terutamanya berulang kali kerana tidak tahan panas atau mengelakkan kelesuan ketika berpuasa. Perbuatan membasahkan diri kerana tidak tahan panas atau kerana kelesuan adalah dibolehkan berdasarkan sebuah hadis, Abu Bakar bin ‘Abd al-Rahman radhiallahu 'anh berkata:

Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-Arj (sebuah tempat), baginda menyiram air ke kepalanya sedangkan pada waktu itu baginda berpuasa. Yang demikian itu kerana kehausan atau kepanasan. [Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud – hadis no: 2365 (Kitab puasa, Bab orang berpuasa yang disiram ke atasnya air…).]

Berkata al-Imam Syams al-Haq al-‘Azhim rahimahullah:

Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi orang yang berpuasa yang merasai kepanasan untuk menyiram air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhan badannya. Ini merupakan pendapat jumhur dan mereka tidak membezakan antara mandi kerana suasana genting, sekadar perlu atau tanpa apa-apa alasan sekalipun. [Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud, jld. 6, ms. 395.]

Dalam membahaskan bab mandi bagi orang yang berpuasa di dalam Sahih al-Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan bahawa Ibn al-Manayyar berkata:

Imam Bukhari bermaksud membantah mereka yang memakruhkan orang yang berpuasa untuk mandi. Kerana apabila pendapat itu berdasarkan kekhuatiran air akan masuk ke tenggorok, maka tertolak dengan keterangan yang membolehkan berkumur-kumur dan menggosok gigi serta mencicipi makanan. Apabila tidak disukai dengan alasan kemewahan, maka sesugguhnya kaum salaf menyukai orang yang berpuasa untuk tampil terawat, indah, memakai celak atau yang sepertinya. Atas dasar itulah ia (Imam al-Bukhari-pen) menukil atsar-atsar tersebut pada bab ini (babmandi bagi orang yang berpuasa-pen). [Fath al-Bari, Bab Mandi orang Yang Berpuasa, ms. 171]


BERENDAM DI DALAM BATH TUB, KOLAM, TAKUNGAN AIR?

Perbuatan merendamkan diri ketika berpuasa kerana kepanasan bukanlah perbuatan pelik tetapi pernah dilakukan oleh sahabat Nabi sendiri. Anas bin Malik berkata:

Sesungguhnya aku memiliki penampungan air yang aku masuk ke dalamnya dan aku sedang berpuasa.[ Fath al-Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa, ms. 167]

Ibn Hajar al-Asqalani dalam menjelaskan mengenai atsar itu berkata:

Seakan-akan penampungan tersebut dipenuhi air, sehingga apabila udara panas, maka dia masuk ke dalamnya untuk mendinginkan badan. [Fath al-Bari, Bab Mandi Orang Yang Berpuasa, ms. 172]

Perkara Yang Disangka Membatalkan Puasa, Namun Hakikatnya Tidaklah Begitu

Masih dalam keadaan junub ketika masuknya subuh:

Dari ‘aisyah & Ummu Salamah:

“Sesungguhnya Nabi memasuki waktu subuh dalam berjunub kerana jima’ dengan isterinya, kemudian Baginda mandi dan berpuasa. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1825, Muslim, no. 1109)

Bersiwak/gosok gigi:

Nabi s.a.w. bersabda:

“Sekiranya tidak memberatkan ummatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali ingin bersolat.” (Hadis Riwayat Bukhari, 887) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “... Setiap kali hendak berwudhu’” (Hadis Riwayat Bukhari, 2/682)

Hadis ini bersifat umum. Termasuklah ketika berpuasa. Oleh itu, diperbolehkan bersiwak/memberus gigi bagi sesiapa yang ingin solat atau berwudhu’ samaada berpuasa atau tidak. Pendapat inilah yang dipilih oleh imam Bukhari di dalam sahihnya (2/682, dan Fathul Bari, 4/158) serta Ibnu Khuzaimah di dalam Shahihnya (3/247), al-Baghawi di dalam Syarh Sunnah (3/298), dan jumhur ahli ilmu yang lain.

Memasukkan air ke dalam hidung & Berkumur-kumur

...berlebih-lebihlah dalam memasukkan air ke dalam hidung (memasukkan secara sepenuhnya) kecuali ketika berpuasa. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2366, at-Tirmidzi, no. 788, an-Nasa’e, no. 87)

Ini membawa maksud bahawa memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa adalah dibolehkan - hanya cuma, janganlah berlebih-lebihan iaitu cukup sekadar membersihkan kotoran.

Bermesra Dan mencium Isteri:

Dari ‘Aisyah:

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah mencium isterinya dalam keadaan berpuasa, dan bermesra dengan isterinya dalam keadaan berpuasa, akan tetapi Baginda adalah orang yang paling mampu menahan diri.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1927, Muslim, no. 1106)

Ada yang berpendapat, perbuatan ini dimakruhkan bagi pemuda berdasarkan hadis ini:

Dari abdullah bin ‘Amr:

“Kami pernah berada di sisi Nabi s.a.w., datanglah seorang pemuda, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Bolehkah aku mencium dalam keadaan berpuasa? Nabi menjawab: Tidak. Kemudian, datanglah seorang tua, lalu berkata: Bolehkah aku mencium dalam keadaan aku berpuasa? Nabi menjawab: Ya. Berkata (Abdullah): Kami melihat sesama sendiri (kehairanan), Maka Nabi bersabda: Sesungguhnya orang tua itu lebih mampu menahan dirinya.” (Lihat silsilah as-shahihah: 1606)

Merasa Makanan:

Dari Ibnu Abbas:

“Tidak mengapa merasa cuka, atau apa-apa makanan selagimana tidak sampai ke krongkongan dalam keadaan berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari dengan tanpa sanad, dan Ibnu Hajar menyambungnya di dalam Fathul Bari, 3/154)

Mengeluarkan darah atau suntikan yang tidak mengandungi makanan:

Hal ini tidak termasuk dalam perkara yang tidak membatalkan puasa. Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama al-mu’ashirin, seperti yang telah ditetapkan Majma’ Fiqhul Islami. (Rujuk: Majallah Majma’, 2/464)

Berbekam:

Daripada Ibnu abbas:

“Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah berbekam dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1939)

Memakai Celak, Menitiskan Ubat Mata ke Bahagian Mata:

1 - Imam Bukhari mengatakan: “Anas bin Malik, Hasan al-Basri, dan Ibrahim an-Nakha’i memandang tidak mengapa bercelak bagi orang yang berpuasa” (Fathul Bari, 4/153)

2 - Perkara ini telah disepakati oleh jumhur ulama al-mu’ashirin (Seperti Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, al-Uthaimeen, Dr. Wahbah Zuhaily, dan lain-lain...), bahawa menitiskan air atau ubat ke dalam mata tidak membatalkan puasa (Rujuk: Majallah Majma’, 2/378, 381, 385, 392) Juga ada perbahasannya di website berikut: http://www.saaid.net

Mencurahkan Air Ke Atas Kepala/Mandi:

Dari Abu Bakr, katanya, telah berkata orang yang meriwayatkan kepada aku:

“Aku telah melihat Rasulullah s.a.w. mencucurkan ke atas kepalanya air dalam keadaan Baginda bepuasa, kerana dahaga atau kepanasan. (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 2365, Disahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih Sunan Sunan Abu Daud)

Manakala di dalam Shahih beliau mendatangkan satu tajuk “Bab Mandinya Orang Yang Bepuasa”, dan beliau mendatangkan hadis Ibnu Umar:

“Ibnu Umar telah membasahi bajunya (kerana kehausan) kemudia beliau memakainya dalam keadaan berpuasa.” (Hadis Riwayat Bukhari, lihat Fathul Bari: 3/154)



P/s- Sekadar berkongsi dari artikel yang dapat dari blog sahabat-sahabat. Salah silap harap dibetulkan. Selamat Menyambut Ramadhan!

insan hina

14 comments:

SD said...

Bagus penulis artikel ini sebab begitu terperinci dalam oenulisan. Diharapkan selepas ini lebih ramai yang ingin menulis tentang islam memperincikan penulisan mereka. Tiadalah ragu2 selepas itu.

Another said...

yay tak batal puasa! makasih! n joy berpuasa!

myFirdaus said...

mohon kebenaran share di blog.

KambingBujang said...

saya share kt FB saya.tQ

nurwani said...

IZIN SHARE DI BLOG..TQ

Anonymous said...

aduh.confius sudah..ade yang kte klu mazhab syafie batal pose...

Cik FaRiZaM said...

good info....tq for sharing....

HARMAN said...

salam....terima kasih....semoga ilmu yg ditulis adalah ilmu yang benar yang boleh menyuluh kehidupan..

Zul's Stuff said...

terbaek...info yg berguna!!!!

Anonymous said...

tqvm....moga tuan n pembaca semua di rahmati Allah.amin....

azim marcello said...

salam , nak mintak izin copy entry ni yee . nak share kpd yg lain :)

Anonymous said...

thnxz 4 sharing...mnx izin mau share kt fb... :)

Oghang Kite said...

Terima kasih dah berbagi ilmu... semoga Allah membalas pahala..

Nurul said...

Alhamdulillah..Artikel yang lengkap..Terima Kasih..Salam Ramadhan..:)