Wednesday, October 29, 2008

PILIHANRAYA KAMPUS UTP: BERAKHIR DENGAN KEGEMBIRAAN





Jika IPTA lain masih ketiadaan MPP kerana penangguhan pilihanraya tetapi di UTP, MPP baru bagi sessi 2008/09 telah berjaya membentuk sebuah kerajaan pada pukul 1.30 pagi tadi (30 Oktober 2008).
UTP adalah sebuah IPTS yang mempunyai visi untuk melahirkan pemimpin-pemimpin di peringkat dunia. Walaupun terdapat banyak perbezaan dari sudut suasana pilihanraya dengan IPT lain, pada kali ini pilihanraya di UTP tidak kurang hebatnya. Sebanyak 5 orang calon perlu dipilih daripada 11 orang calon yang bertanding untuk kerusi umum dan 6 orang perlu dipilih daripada 9 orang yang bertanding untuk kerusi program.
Pada tahun lepas iaitu 2007/08, kerusi MPP telah dimenangi tanpa pertandingan kerana kekurangan orang untuk menyertai pilihanraya. Ini adalah disebabkan beberapa faktor antaranya ialah perubahan pada syarat pilihanraya itu sendiri dan kesedaran politik yang amat kurang dikalangan mahasiswa UTP. Memandang serius pada perkara ini, kerajaan MPP pada sesi 2007/08 telah mengambil inisiatif dengan bersemuka dengan pihak HEP untuk mengubah beberapa syarat yang dirasakan tidak perlu di dalam pemilihan calon MPP. Selain itu, Kempen Mengundi yang diadakan pada awal Februari dan disusuli dengan Kempen Penglibatan dalam aktiviti-aktiviti pelajar pada bulan Julai yang lepas menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran berpolitik dikalangan pelajar.
Pilhanraya kali ini menampakkan hasilnya dengan penyertaan 11 orang calon untuk memenangi 5 kerusi umum (Majlis Tertinggi MPPUTP) dan 16 orang calon (7 menang tanpa bertanding) untuk kerusi program (Majlis Eksekutif MPPUTP).
Walaupun tempoh berkempen telah mengambil masa yang lama iaitu selama 14 hari, para calon menunjukkan prestasi dan komitmen yang mantap dari hari ke hari. Kereta jentera, blog, menara, bunting, banner, perang poster, roadshow bilik dan kuliah talah menjadi penyeri sepanjang tempoh berkempen. Namun, kemeriahan ini telah dicemari dengan beberapa insiden sabotaj yang berlaku kepada beberapa calon seperti poster dikoyak dan dispray, dikutuk ketika memasang poster dsb.
Walaubagaimanapun, keadaan ini telah menaikkan semangat dikalangan pelajar dan peningkatan terhadap jumlah undi sekali ganda daripada pilihanraya 2006/07 yang lalu iaitu 40 percent (approximately 2000 pelajar dari 5000 populasi pelajar dalam UTP) pelajar telah keluar untuk mengundi pada kali ini.
Berikut adalah keputusan piliahanraya MPPUTP bagi kerusi Umum UTP mengikut ranking:

KERUSI UMUM (MAJLIS TERTINGGI MPPUTP 2008/09)
HASMADI BIN HASBI =1683 UNDI
AHMAD FAROUQI BIN HASSAN =1600 UNDI
NORZILA BTE NOH= 1535 UNDI
NIK AKMAL AFIF = 1468 UNDI
NOOR SYUHADA BINTI HALIM= 1450 UNDI
MOHD FARRIZ IJAZ= 710 UNDI
SOFIA SHAHAROM=643 UNDI
ADONIS SINGH= 499 UNDI
MOHD ASYRAF FADZLEE= 473 UNDI
KHALIB ISMAIL= 449 UNDI
RAHIMAH MOHAMAD NAWAI= 423 UNDI

(5 YANG TERATAS DIPILIH MENJADI MAJLIS TERTINGGI MPPUTP 2008/09)

KERUSI PROGRAM (2 Nama Teratas Dipilih Menjadi Majlis Eksekutif MPPUTP)
Information Communication Technology
1. Nurul Farhan Normi
2. Amir Hamzah
2. Khael Abdul Malik


Chemical Engineering
1. Nur Farhani Mohd Zulhairi
2. Wan Ahmad Faiz Wan Razali
3. Muhammad Aimen bin Isa


Petroleum Engineering
1. Awangku Alizul Azahari Bin Awangku Mathali
2. Muhammad Hafiz Bin Khairul Azmi
3. Ron Fernandez


Business Information Systems (win unopposed)
1. Aizi Syazwan Azman
2. Nazurah Husna

Electrical & Electronic Engineering (win unopposed)
1. Mohd Zulhilmi Zaini @ Pungik @ Martin

Mechanical Engineering (win unopposed)
1. Shalini a/p Subramaniam
2. Mohd Safwan Izzudin


Civil Engineering (win unopposed)
1. Mohd Amin
2. Siti Nadiah Norbeh



Dengan berakhirnya Hari Mengundi pada 29 Oktober 2008, Pilihanraya MPPUTP 2008/09 melabuhkan tirainya. Kepada yang menang, jalankan tanggungjawan dan manifesto anda dengan sebaik mungkin. Kepada yang tidak berjaya, anda adalah calon yang terbaik dan menjadi agen check and balance kepada MPP. Selamat BEKERJA!

Friday, October 24, 2008

SYUHADA CALON NO #10


Calon kedua yang saya rasa boleh memenangi untuk kerusi Majlis Tertinggi majlis Perwakilan Pejar UTP ialah Noor Syuhada Binti Halim. Umum mesti berasa pelik kenapa saya memilih insan yang bernama Shuhada ini sebagai calon berpotensi untuk menang. Bagi kalian yang mengenali beliau bagi kali pertama, mungkin sahaja tidak tahu akan potensi sebenar beliau.

Pertama sekali, saya akan membincangkan dari sudut latar belakang beliau yang saya tahu dan serba sedikit manifestonya yang di bentang pada sesi manifesto yang lalu. Insan ini adalah anak jati Selangor dan mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kepimpinan. Beliau merupakan Setiausaha EXCO Kebajikan MPPUTP 2006/07 di bawah didikan Afnan dan Syamimi yang memegang kerusi EXCO pada waktu itu. Beliau merupakan antara golongan-golongan pemikir yang melawan dengan pihak pengurusan tentang beberapa kekurang facilities pada beberapa tahun lalu. Antaranya ialah tempat meletak kenderaan berbumbung dan juga kekurangan fasiliti sukan di UTP. Beliau bersama-sama Afnan dan Syamimi serta rakan EXCO lain berani membawa isu ini kepada pihak pengurusan dan hasilnya ialah keselesaan parking berbumbung hampir keseluruhan di UTP dan dalam proses pembinaan ialah padang futsal di Village 5. Maklumat ini saya dapat dari saudara Afnan dan juga kerana saya ialah salah seorang Rakan EXCO pada ketika itu. Kelantangan beliau bersuara memang melahirkan rasa kagum kepada diri terhadap insan ini. Beliau memang layak diberi penghargaan di atas kejayaan besar beliau ini.
Tidak cukup sebagai Rakan EXCO Unit Kebajikan, beliau meneruskan kerjaya dalam bidang kepimpinan dengan menyertai beberapa event-event besar UTP contohnya Majlis Eksekutif Convofair 2008, Penghuluwati Village 5, mendapat anugerah Best Student Award dalam MAKK untuk Village 5 dan pelbagai lagi. Beliau juga merupakan insan yang dilahirkan dengan bakat seni dan menganggotai Choir untuk Konvokesyen UTP 2006.



Menyentuh sedikit mengenai Manifestasi beliau pada tanggal 13 October yang lalu, beliau menekankan elemen penglibatan pelajar UTP di dalam aktiviti-aktiviti pelajar. Bagi beliau, pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang mempunyai kehebatan akademik yang seiring dengan penglibtan di dalam aktiviti. Untuk mencapai well-rounded graduan di kalangan pelajar UTP, beliau akan mencuba sehabis baik untuk merangka strategi dan pelan-pelan tindakan untuk kebaikan pelajar. Selain itu, beliau juga menekankan tentang perlunya pusat pelajar untuk berkumpul (students’ centre). Hasil kajian yang mendalam terhadapa isu ini, beliau mengambil contoh universiti-universiti terkemuka seperti Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia dan Multimedia Universiti. Di universiti-universiti ini, terdapat kedai yang diterajui pelajar, bilik mesyuarat, bank dan lain-lain lagi. Para pelajar tidak kira bangsa, agama, tempat asal dan peringkat umur berkumpul berkongsi informasi yang pelbagai. Melihat kepada perkembangan yang baik di universiti tersebut, Shuhada mengambil langkah untuk memperkenalkan pusat pelajar ini sekiranya beliau menang di Konstituensi Umum.

Justeru pendapat peribadi penulis adalah Syuhada mempunyai alasan yang kukuh kenapa beliau perlu berada di kerusi Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar UTP 2008/09 bagi meneruskan momentum yang di bawa oleh beliau sebelum ini. Semoga Berjaya! VOTE no #10! http://www.syuhada10.blogspot.com

Ready for Change




Tuesday, October 21, 2008

Matlamat Pilihanraya Kampus(PRK) wajar diperhalusi


oleh HISYAMUDDIN CHE ALI *

Saya sebagai salah bekas calon yang terlibat secara langsung dalam PRK pada tahun lalu berasa terpanggil untuk menyuarakan pendapat berkaitan demokrasi di gerbang ilmu ini.
Sebenarnya, Pilihanraya Kampus (PRK) disertai oleh para mahasiswa disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya adalah untuk menjadi pemimpin kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya dahulu, pemilihan pengawas di sekolah hanyalah lantikan dan bukan pemilihan, tetapi ia senario berbeza di Universiti.
Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk memilih mana-mana calon yang dirasakan layak untuk memimpun mereka. Yang boleh menjadi pemimpin dalam menyuarakan isu kebajikan mereka, yang boleh mengendalikan pesta konvokesyen, forum dan juga pelbagai program intelektual lain.

Para mahasiswa yang keluar mengundi inginkan satu kepimpinan yang boleh memacu perubahan ke arah penegakkan haknya di universiti.
Pemimpin pelajar yang terpilih itu pula perlulah menjadi pemimpin yang mampu merubah persepsi rakan sebayanya mengenai potensi generasi muda dari seorang pelajar biasa kepada pelajar yang miliki idealisme tentang cita-cita hidup merentasi pembinaan moral dan akhlak seseorang individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia.
Selain itu, pemimpin pelajar yang dipilih juga wajar dilihat sebagai pemimpin pembina budaya (culture builder).

Selanjutnya, PRK merupakan medan demokrasi unggul yang mengajar para mahasiswa erti pilihanraya. Bermula dari pemilihan calon, hari penamaan calon, kempen, risalah-risalah, manifesto, kain rentang dan pengiraan undi,ia merupakan situasi sebenar seperti dalam pilihanraya umum.

Mahasiswa yang didedahkan dengan PRK, akan mengetahui cara-cara perjalanan pilihanraya dan juga peraturan semasa piliharaya yang seterusnya dapat diadaptasikan oleh mereka setelah keluar dari menara gading.


Demokrasi ini dilihat boleh menyedarkan para mahasiswa bahawa pangkahan mereka amat bernilai dalam mencorakkan kepimpinan pelajar.

Jadi, faktor pemakaian demokrasi dalam diri mahasiswa adalah penting sebelum mahasiswa menemui dunia realiti yang lebih mencabar dan penuh dengan pancaroba dalam ilmu politik.
Selain itu, PRK juga diperkenalkan adalah kerana ingin mencari pemimpin pelajar yang boleh menjadi contoh teladan kepada masyarakat luar terutamanya muda-mudi yang mengalami krisis identiti sekarang.

Perkara ini mampu merungkai dan membawa keluar kerumitan dan kegelisahan masyarakat yang dilingkari dengan masalah sosial dan jenayah dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah. Secara analisisnya, suara mahasiswa sebenarnya amat mahal dan apabila ia bersuara, pasti ada perkara yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat.
Di samping itu, kepimpinan negara memerlukan pelapis yang boleh menjadi pengganti kepada pemimpin sedia ada sekarang. Negara memerlukan tenaga dan daya pemikiran pemimpin yang baru bagi melangkah gagah menghadapi arena globalisasi dan juga hal ehwal dalaman negara kita.

Sekiranya kita selongkar sejarah lama, pemimpin pelajar seperti Shabery Cheek, Mahathir Mohamad, Zahid Hamidi, Saifuddin Abdullah, Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali, Husam Musa, Abu Bakar Chik dan ramai lagi pemimpin yang pernah memegang tampuk pemerintahan negara, pernah diasuh sebagai pemimpin pelajar.
Oleh yang demikian,jelas PRK bukan sekadar berseronok ketika kempen, tetapi juga mempunyai matlamat jangka panjang yang amat penting dalam pembangunan negara.
PRK turut mengajar erti kebebasan memilih kepada para mahasiswa dalam pemilihan pemimpin pelajar.

Para calon pula boleh menggunakan peruntukan dalam Perkara 10 klausa 1 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap warganegara bebas bercakap dan mengeluarkan idea.

Walau bagaimanapun, kebebasan tersebut tidak mutlak tetapi mempunyai beberapa sekatan tertentu yang antara lainnya melarang mahasiswa menyebarkan fitnah, ugutan, menghina calon lain dan juga menyebarkan provokasi.
Dalam Peraturan 64.5 Peraturan-Peraturan Pemilihan (Perjalanan Pemilihan) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri jelas melarang setiap calon dan wakilnya daripada membuat paksaan, ugutan dan deraan dalam apa jua bentuk terhadap orang perseorangan.

Prinsip keadilan asasi (natural justice) boleh diterapkan ke dalam jiwa mahasiswa dan mereka dapat disedarkan dengan hak asasi untuk bebas membuat pemilihan.
Bagi setiap calon pula, sifat pemimpin pelajar yang neutral, tidak mempunyai agenda politik serta bukan jurucakap kepada parti politik perlu ada paa setiap mahasiswa yang ingin bertanding dalam PRK.

Hal ini sejajar dengan konsep politik nilai mahasiswa dan juga Seksyen 15 kurungan 3 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 yang menyatakan bahawa para pelajar dilarang menyatakan sokongan, simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik atau kesatuan sekerja.

Setelah diperhalusi tujuan PRK,maka saya merasakan bahawa PRK amat penting dalam mencorakkan pemikiran mahasiswa dan ia wajar dijadikan suatu nilai yang penting dalam diri mahasiswa.

Dihujahkan bahawa pilihanraya peringkat mahasiswa bukan medan merebut kuasa seperti mendapatkan kerusi dewan undangan negeri atau Parlimen.
Pemilihan peringkat kampus juga bukannya medan membalas dendam atau menunjuk siapa yang lebih gagah dan lebih kuat.

Tetapi medan pilihanraya kampus wajar dijadikan medan atau sekolah pembelajaran bagi mendidik mahasiswa untuk terlibat aktif dalam demokrasi sama ada di kampus dan di luar kampus setelah tamat pengajian mereka.
Suasana PRK pula perlulah adil dan berdemokrasi yang secara automatik akan melahirkan para mahasiwa menjadi lebih bermoral dan pro-demokrasi dalam menjana satu suasana politik sihat di Malaysia pada hari mendatang.
Oleh yang demikian, jelas bahawa matlamat pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar wajar diterima oleh pelbagai pihak bahawa ia diadakan untuk mendidik erti demokrasi kepada mahasiswa.

Sekiranya ia menyimpang jauh daripada matlamat asal, dibimbangi bahawa pemimpin yang dipilih bukan atas faktor kredibiliti atau kemampuan untuk memimpin,tetapi dipilih atas dasar ketakutan dan dipaksa.

Ini akan memberikan ancaman kepada kepimpinan negara boleh meruntuhkan keutuhan negara kita pada masa hadapan. Merujuk kepada kata-kata falsafah barat yang menyatakan bahawa ‘masa depan dibeli oleh masa sekarang’, maka mahasiswa seluruh negara wajar merenung kata-kata ini dan wajar persiapkan diri untuk memandu negara selepas ini.
Janganlah pilihanraya kampus yang bernilai tinggi ini hanya melahirkan pemimpin yang hanya ‘angguk-angguk,tetapi tidak berani ‘geleng-geleng’ dan ini akan merencatkan pertumbuhan penghasilan pemimpin masyarakat yang berkaliber di negara bertuah ini. -mahasiswakini

Tambahan:
Walaupun kita tidak berada di medan IPTA, MPP di UTP juga memainkan peranan penting dalam mempertahankan kehendak pelajar di mata pihak pengurusan. MPP perlu mempunyai pakej yang lengkap dari sudut PENAMPILAN, percakapan dan yang paling penting adalah faham apa itu MPP. Kepada pengundi-pengundi, think before you VOTE!




Sunday, October 19, 2008

AHMAD FAROUQI BIN HASSAN: CALON POPULAR UNTUK PRESIDEN



Assalamualaikum wbt. Lama menyepi dalam arena blog dan akhirnya terpanggil untuk membuat satu artikel yang dirasakan sangat penting dalam kita mengorak langkah lebih jauh selepas ini dalam Pilihanraya Kampus Universiti Teknologi PETRONAS. Selaku bekas Setiausaha Agung MPPUTP 2007/08, saya mempunyai beberapa pendapat peribadi yang perlu dikongsikan untuk menjadi panduan bagi sesiapa yang berminat.
Pada tanggal 13 Oktober 2008, telah diadakan Malam Perkenalan dan Manifesto bagi calon Kerusi Umum. Rata-rata di kalangan calon memberikan manifestasi tentang isu-isu yang berlegar di dalam persekitaran hubungan sesama pelajar (integration), penglibatan pelajar dalam aktiviti extra curricular (involvement) dan lain-lain lagi. Namun bagi calon yang mempunyai kod no #2 ini mempunyai agenda yang lain dari calon-calon pada malam itu. Teriakan Student Power dengan penuh bersemangat disertai dengan tepukan gemuruh seluruh Chancellor Hall pada malam itu memberikan gambaran betapa menariknya manifesto yang dibentangkan.
Di sini saya sempat menyalin beberapa penglibatan yang telah disertai oleh calon bernombor #2 ini, antaranya ialah:

Head of Economy Department – Kembara Sufi (Foundation 1st Semester)
Member of Business Department – Young Entrepreneurship Club
Facilitator of BAKTI SISWA - Sekretariat Rakan Muda UTP
Facilitator of Minggu Aluan Siswa July 2008 intake
Assisstant Head of Human Resource Management - Convofair 2008.
Head Ceremony and Protocol Department- Event Management Seminar, MedTech
Head Publication and Promotion for Young Entrepreneurship - Convofair 2007
Assistant Head for Event Department- Young Entrepreneurship Club



Namun apa yang saya tertarik sebenarnya ialah manifestonya yang berkenaaan dengan Kuasa Mahasiswa or Student Power. Selaku bekas Majlis Tertinggi MPPUTP, saya melihat kuasa mahasiswa semakin lama semakin terhakis tidak kira di dalam UTP mahupun di peringkat kebangsaan IPTA/IPTS. Kuasa mahasiswa seakan-akan dinafikan dan idea atau buah fikiran mahasiswa diambil enteng oleh sesetengah pihak yang merasakan mahasiswa tidak mempunyai kredibilitinya sendiri.

Di dalam manifestonya, saudara Farouqi telah mengulas lanjut tentang perlunya pendapat di kalangan pelajar itu sendiri sebelum pihak luar mahupun pihak pengurusan sendiri mahu melaksanakan suatu sistem atau undang-undang baru kepada pelajar. Beliau mengambil contoh isu Way Forward: Consequence Management yang dibentangkan oleh wakil PETRONAS di UTP. Dalam post saya yang lepas telah menceritakan tentang perancangan pihak PETRONAS kepada pelajar UTP yang ditaja oleh PETRONAS. Beliau mahukan isu ini dibincangkan dahulu dengan pelajar sebelum diimplementasikan kepada pelajar di UTP agar satu clear view dapat diraih dan sekaligus mengangkat martabat mahasiswa sebagai golongan pemikir Negara kelak.

Satu lagi yang saya tertarik dengan beliau ialah keberanian beliau untuk menyuarakan pendapat tentang ke mana hilangnya wang-wang saman yang pelajar yang dianggarkan berjumlah beratus-ratus ribu semenjak system saman itu diperkenalkan. Beliau menyarankan supaya suatu kajian secara terperinci perlu dilakukan agar wang tersebut dapat digunakan sebaik mungkin untuk pembinaan sahsiah pelajar UTP.

Selain itu, beliau juga menyarankan agar ditubuhkan satu Pusat Pelajar atau Students’ Centre di UTP untuk mengumpulkan pelajar-pelajar di UTP. Penekanan terhadap manifesto ini adalah disebabkan oleh masalah integrasi dikalangan pelajar UTP dan juga kurangnya pendedahan terhadap isu-isu semasa dikalangan mahasiswa di UTP.

Pada malam Forum Kempen MPPUTP yang diadakan pada 15 Oktober lalu bagi Calon Konstituensi Umum, beliau dapat menjawab dengan baik soalan tentang isu AUKU yang menjadi dilema kepada pelajar pelajar IPT sekian lama. Bagi UTP yang hanya mempunyai Akta IPTS, UTP tidak pernah dibayangi oleh isu AUKU. Namun, pengetahuan yang baik terhadap isu-isu seperti ini adalah wajib bagi MPP yang akan datang kerana perjuangan mahasiswa adalah bersifat dinamik dan bukan hanya setempat sahaja. Saya percaya jika beliau memenangi Kerusi Umum, suara mahasiswa UTP yang berpengkalan hanya disekitar TRONOH ini akan didengari oleh semua lapisan masyarakat.

“EMPOWER STUDENT TOWARDS REVOLUTION”

MUHAMMAD HANIFF BIN HUMAM
SETIAUSAHA I
MPPUTP 2007/08


*saya akan mengUPDATE dari semasa ke semasa pendapat peribadi saya tentang calon-calon MPPUTP





Suruhanjaya Pilihanraya MPPUTP Tidak Professional

Walaupun ini adalah isu lapuk yang hangat diperkatakan di sekitar Hari Penamaan Calon MPPUTP 2008/09 yang lepas, penulis ingin membawa kembali isu ini untuk dipertontonkan dikalangan pelajar UTP perkara yang berlaku di sekitar mereka.
Umum yang tidak cakna dengan perkembangan politik di UTP mungkin tidak sedar akan hal ini, namun ini adalah perkara terpenting bagi pelajar UTP kerana ianya sangat bersangkut paut dengan hak kita sebagai mahasiswa. Berbuih pemimpin di pelbagai peringkat menyatakan bahawa Mahasiswa adalah Pemimpin Generasi akan datang yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan Negara, namun bagi sesetengah pelajar ianya tidak penting. Biarlah masa yang menentukan agar suatu hari nanti mahasiswa di UTP dan di seluruh Malaysia akan keluar dari kepompong selesa mereka ketika ini.


Pada Hari Penamaan Calon MPPUTP 2008/09, SPR kelihatan tidak membuat persediaan lengkap tentang penamaan calon. Perkara ini jelas ketika menjawab beberapa isu yang diutarakan oleh pelajar sewaktu sesi Q&A bagi sesi bantahan. SPR seperti tidak pernah langsung membuka ELECTION GUIDELINES yang mereka sendiri sediakan. Banyak Klaus yang telah dipersoalkan antaranya ialah Klaus 16.1 dan 23.1(a). Kegagalan SPR untuk menjawab soalan-soalan yang diutarakan diperingkat pelajar serta kelihatan mereka bergegas untuk menamatkan sesi soal jawab itu menunjukkan keraguan terhadap kredibiliti mereka sebagai SPR.
Soal unintentionally Favouratism yang seringkali diungkapkan pada sesetengah SPR pada hari itu dibalas dengan kata-kata sinis oleh SPR sendiri. Mungkin bagi mereka pilihanraya seperti ini adalah tidak sepenting pilihanraya Umum, tetapi tugas yang diamanahkan perlu dijalankan dengan baik. Mahasiswa di UTP akan terus menentang SPR sekiranya terjadi lagi perkara seperti ini pada hari-hari akan datang.