Tuesday, December 30, 2008

DI SEKITAR WACANA TRANSFORMASI POLITIK HUSAM MUSA-KHAIRY JAMALUDIN-ABDUL AZIZ BARI

Forum Transformasi Politik Malaysia telah berjaya mengamit atmosfera politik tanah air. Wacana yang mengambil masa selama lebih kurang 2 jam itu telah diadakan di bumi Kelantan Darul Naim dengan kehadiran majoritinya ahli PAS dan menurut suatu sumber Khairy Jamaludin (KJ) telah ditemani seramai 50 orang Pemuda UMNO. Forum ini telah dipengerusikan oleh Professor Agus.

AGAMA DAN POLITIK
Isu terbesar yang dibangkitkan ialah soal pemerintahan yang menggunakan undang-undang hudud. Isu hudud ini telah lama dibangkitkan sejak pada pilihanraya tahun 90-an lagi apabila PAS berjaya memenangi Kelantan. Dalam wacana tersebut Husam Musa dengan lantangnya menyatakan kesediaannya (yang mewakili kesediaan PAS) untuk melaksankan Hudud sekiranya Pakatan Rakyat menang dan menguasai Parlimen. Husam menambah bahwa selama ini memang PAS hendak melaksanakan hukum Hudud tetapi malangnya dihalang oleh Kerajaan Pusat.

KJ yang mendengar statement Husam terus menerus menggunakan isu ini untuk menyatakan ketidakpercayaannya kerana PAS adalah salah satu parti di bawah Pakatan Rakyat yang juga dianggotai oleh Keadilan dan DAP yang mempunyai dasar masing-masing. Dalam pada itu, Professor Aziz Bari menyatakan menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat untuk melaksanakan Hudud sekiranya kerajaan Negeri tidak mampu berbuat demikian.

Apabila diajukan kepada KJ mengenai kesanggupannya untuk melaksanakan Hudud, dia menyatakan bahawa pendiriannya ialah menggunakan pelembagaan yang telah sedia ada.

Persoalannya sekarang, apakah manusia mempunyai kuasa untuk menggunakan undang-undang yang mereka cipta sendiri dan mengenepikan undang-undang yang diturunkan Allah untuk manusia ikut? Apakah undang-undang manusia lebih baik daripada undang-undang Pencipta?

Ayuh kita ketepikan sentimen politik seketika, persoalan-persoalan ini adalah sangat penting untuk kita fahami kerana ianya berkaitan dengan akidah kita yakni ikatan kita dengan Allah. Sebagai seorang Muslim, kita wajib menyakini bahawa undang-undang yang dicipta Allah adalah sempurna. Dialah yang mengetahui akan baik buruk manusia, Dialah yang mengetahui setiap segala sesuatu yang tersimpan dalam lubuk hati manusia.

Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat ke 44,45 dan 47:
“…dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” sebahagian ayat 44
“...dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.” sebahagian ayat 45
“…dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang fasik.” sebahagian ayat 47

Melalui ayat di atas jelas bahawa kita perlu menggunakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Hukum ini hendaklah bersih daripada sebarang ideologi-ideologi ciptaan manusia (tajarrud).

Pernah sekali saya bertanya kepada seorang ustaz, adakah hukum ini perlu dilaksanakan sejurus kita menguasai kerajaan Pusat. Adakah esoknya kita perlu laksanakan hudud? Lalu ustaz itu menjawab, pelaksanaan itu boleh bersifat tadrij yakni beransur-ansur berdasarkan situasi yang berlaku pada waktu itu, namun mesti mempunyai keazaman dan usaha untuk kearah pelaksanaann undang-undang tersebut.

Bersangkut paut dengan ini adalah kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyatakan bahawa beliau yakin pada suatu hari nanti masyarakat akan menerima hukum hudud ini sepertimana rakyat Malaysia menerima kerjaan Islam Kelantan sekarang. Mungkin ia akan mengambil masa 10,20 atau 30 tahun.

FITNAH KE ATAS ISLAM DI LAKUKAN OLEH ORANG ISLAM SENDIRI
Hukum hudud yang digambarkan oleh umat Islam sekarang adalah suatu hukum yang kejam. Bak kata Ustazah Mashitah “bila curi tangan kangan potong tangan kanan, bila curi tangan kiri potong tangan kiri, bila curi dengan kaki potong kaki, lepas itu potong apa pulak…” dalam suatu ceramah dakyahnya. Demikian Mashitah mengambarkan seolah-olah hukum hudud itu hukum yang kejam dan tidak praktikal.

Selain itu, sejurus selepas Wacana Transformasi Politik Malaysia ini, media terus memainkan peranannya menjadikan hukum hudud ini sebagai alat untuk melagakan Pakatan Rakyat. Lim Guan Eng contohnya menolak hukum ini dilaksanakan kerana tidak pernah dibincangkan dalam Pakatan Rakyat dan tiada dalam manifesto Pakatan Rakyat sejurus dihubungi pihak media. Manakan seseorang itu hendak menerima sesuatu yang dia tiada pengetahuan tentangnya…

Saban hari isu ini semakin diperbesar-besarkan. Sepatutnya peranan media-media yang kebanyakannya orang Islam ini bukan memainkan isu ini untuk kepentingan sesebuah pihak tetapi sebaliknya member PENERANGAN apakah hukum hudud itu sebenarnya, bagaimanakah pelaksanaanya boleh mendatangkan kebaikan kepada semua pihak dan sebagainya?

Golongan-golongan ulama’ yang memperjuangkan Islam ini terus difitnah ingin membelot Pakatan Rakyat. Adakah kepentingan politik itu lebih besar daripada kepentingan Islam sehingga hukum Allah ini dipermain-mainkan? Sesungguhnya kita tidak lain dan tidak bukan hanyalah hamba kepada-Nya.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” Az-Zariyat: ayat 56

THE ARROGANCE OF POWER

Selain daripada tujahan mengenai hukum hudud, sentimen-sentimen politik, satu lagi isu yang dibangkitkan ialah mengenai konsep The Arrogance of Power.

Pemahaman mudahnya ialah penggunaan kuasa yang melampau disebabkan oleh sikap ego. Jika kita mengambil contoh mudahnya ialah George W Bush yang menggunakan kuasa veto Amerika untuk menyerang negara-negara yang lemah seperti Afghanistan, Iraq dan menyokong serangan terhadap Palestin oleh Israel.

Dalam konteks Malaysia, tidak dinafikan dalam Pakatan Rakyat yang baru menguasai beberapa negeri, telah menunjukkan contoh yang kurang baik dengan menggunapakai konsep ini. KJ dalam forum itu membangkitkan isu 16 September yang diwar-warkan oleh Pakatan Rakyat untuk peralihan kuasa Kerajaan Pusat kepada Pakatan Rakyat.

Namun perlu diingat Kerajaan sekarang yang telah memerintah seberapa lama di Malaysia, pelbagai contoh konsep ini telah digunapakai. Internal Security Act (ISA) contohnya adalah akta yang seringkali digunapakai oleh kerajaan untuk kepentingan politik mereka, selain itu Akta Universiti dan Kolej Universiti, isu Pelantikan Hakim, kebebasan Media, isu harga minyak dan pelbagai lagi contoh lain yang boleh kita ambil.

Dalam pada itu, Professor Aziz Bari menerangkan bahawa dalam parlimen, pembangkang telah banyak kali memberikan sokongan kepada kerajaan sekiranya sesuatu isu atau dasar itu bakal mendatangkan kebaikan untuk rakyat contohnya Isu Palestin tetapi kerajaan tidak pernah memberikan sokongan kepada pembangkang jika sesuatu isu yang dibawa itu untuk kepentingan semua.

KEBERANIAN PERLU PADA TEMPATNYA

Wacana yang berlangsung di Kelantan itu walaubagaimanapun menunjukkan keberanian KJ yang sanggup turun ke Kelantan iaitu kubu kuat PAS. Kedatangannya itu mungkin disebabkan oleh keyakinannya terhadap perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini.

Pindaan terhadap AUKU dan penubuhan 2 buah suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Pelantikan Hakim (SPK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan modal yang digunapakai KJ sepanjang forum tersebut. Walaupun mendapat tentangan dari Prof Abd Aziz Bari, Husam Musa dan penyokong-penyokong PAS, dia kelihatan tidak tertekan malah setiap ucapannya menunjukkan semangatnya yang berkobar-kobar walaupun pada hakikatnya perjuangan dia adalah bersifat duniawi semata-mata.

Semangat seperti ini sepatutnya ada pada jiwa Rijal Ad-Dakwah yang tidak ada perkataan berputus asa dalam kamus hidup mereka. Berbekalkan matlamat yang jelas iaitu mengajak manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah, ia sepatutnya menjadi kunci untuk menaikkan semangat pemuda-pemuda ini.

Seperti mana ucapan Abdullah Bin Rawahah dalam Perang Mu’tah kepada tentera Islam yang menyaksikan tentera Islam 3000 orang berhadapan dengan 200,000 orang tentera Romawi
“…kita mesti meneruskan perjuangan ini dan sama ada kita peroleh mati syahid atau kemenangan dalam peperangan ini”

KESIMPULAN
Wacana berbentuk seperti ini sangat baik kerana membudayakan budaya intelektual di kalangan rakyat Malaysia. Secara keseluruhan Wacana ini tidak memberikan gambaran jelas mengenai tajuk yang ingin di bawa kerana isu yang sama sering dimain-mainkan.

3 comments:

NiK said...

di mane leh ana bace liputan wacana tersebut ya utz hanif?

Admin said...

ana banyak amek sumber dr akhbar siasah dan enta leh tgk sendiri wacana tersebut kat youtube

AK 47 said...

kerajaan is KERAjaan..that is the most appropriate one..