Tuesday, November 18, 2008
Islam vs Sekular
Mohamed Hanipa Maidin
Mon | Nov 17, 08 | 12:13:44 pm MYT
Artikel saya kali ini berlegar di atas isu kuasa (power). Saya rasa isu ini amat perlu direnungi bagi kita memahami perjuangan gerakan Islam dan gerakan selain daripada gerakan Islam.
Terdapat jurang yang besar antara gerakan Islam dan gerakan sekular berhubung makna dan tujuan kuasa. Kuasa yang saya maksudkan di sini adalah berkaitan kuasa politik.
Mungkin tidak keterlaluan jika saya menyimpulkan bahawa pemikiran Machiavelli membawa pengaruh yang besar kepada gerakan sekular seperti Umno dalam menanggapi makna dan tujuan kuasa.
Siapa dia Machiavelli ini? Beliau adalah seorang penjawat awam di Florentine, Itali. Beliau juga adalah seorang 'political theorist'. Nama sebenar beliau adalah Niccolò Machiavelli. Pada tahun 1513 beliau telah menulis satu buku bertajuk 'The Prince' atau di dalam bahasa Itali dikenali sebagai De Principatibus (About Principalities), Meskipun ditulis pada tahun 1513 namun buku beliau tersebut hanya diterbitkan pada 1532 iaitu lima tahun selepas kematiannya.
Tujuan asal buku 'The Prince' ditulis adalah sebagai satu panduan atau rujukan kepada seorang anak raja tentang bagaimana beliau mahu mengekalkan kuasanya dan keduanya bagaimana nak mengekalkan wilayah kuasanya.
Dengan lain perkataan tujuan buku tersebut adalah bagi memastikan anak raja tersebut terus berkuasa. Machiavelli berpendapat bagi mengekalkan kuasa, anak raja tersebut berhak menggunakan apa sahaja cara sama ada cara tersebut adil atau zalim. Yang penting bagaimana ia boleh terus berkuasa.
Di dalam 'The Prince' Machiavelli antara lain menyatakan bahawa adalah mustahak seorang pemimpin itu disayangi dan ditakuti oleh rakyatnya. Namun untuk disayangi dan ditakuti dalam masa yang sama adalah sesuatu yang sukar, Machiavelli menasihati adalah lebih baik untuk seorang pemimpin itu ditakuti daripada disayangi oleh rakyatnya
Pemikiran Machiavelli yang mengagungkan prinsip matlamat menghalalkan cara (al-ghayah tubarrirul wasilah) boleh dikatakan sehingga kini mendominasi pemikiran ahli-ahli politik sekular sama ada di negara-negara Barat mahupun negara-negara umat Islam khususnya negara-negara umat Islam yang pernah dijajah seperti Malaysia.
Pemikiran Machiavelli adalah pemikiran yang amat jauh dari cahaya ilahi. Ia amat sesuai dengan para pemimpin yang menganggap dunia adalah segala-galanya (tiada sebarang akauntabiliti di alam yang kekal iaitu alam akhirat). Sebab itu kita boleh melihat pemimpin yang diselaputi oleh pemikiran Machiavelli akan sentiasa memikirkan bagaimana ingin terus berkuasa dan bagaimana rakyat terus takut kepada mereka
Mereka akan bersedia menindas dan menzalimi rakyat semata-mata kerana ingin terus berkuasa. Sebagai contoh bagi mengekalkan kuasa, mereka akan sanggup melakukan rasuah (diubah dengan kalimah 'politik wang'). Mereka juga tidak kisah menggunakan undang-undang zalim kerana yang penting bagi mereka adalah kuasa. Kuasa adalah segala-galanya.
Mereka tidak peduli dengan kebenaran hatta jika datang dari Allah sekalipun. Ini kerana bagi mereka sepertimana yang dikatakan oleh Hans Morgenthau "kebenaran mengancam kuasa dan kuasa pula akan mengancam kebenaran" (truth threatens power, and power threatens truth).
Sekarang mari kita lihat kuasa dari perspektif Islam. Islam tidak membenci atau menolak kuasa. Malahan kuasa amat diperlukan bagi melaksanakan perintah Allah. Di dalam al-Quran Allah menyatakan empat tujuan besar kenapa Islam menyokong kuasa. Empat tujuan besar kuasa adalah untuk membolehkan solat didirikan, zakat dilaksanakan, amar makruf (menyeru kepada kebaikan) dan mencegah kemungkaran dilakukan (lihat surah Al-Hajj 22: 41).
Dalam membicarakan isu kuasa ini Islam mengambil kira dan mengiktiraf dua realiti asas kewujudan manusia. Realiti pertama adalah perlaksanaan kuasa oleh sesetengah individu ke atas orang lain adalah perlu bagi mewujudkan keamanan di kalangan masyarakat (lihat al-Quran 4:59 dan 43:32).
Realiti kedua adalah amat mudah untuk sesuatu kuasa itu dirosakkan dan menjadi sumber kepada ketidakadilan dan penindasan (lihat al-Quran 6:123, 20:24, 27:34, 33:67, 34:34, 43:23-24 ).
Tentang mudahnya kuasa itu dirosakkan sepertimana yang dinyatakan di dalam al-Quran kini diakui sendiri oleh sarjana Barat seperti Lord Acton yang terkenal dengan kata-katanya "power corrupts and absolute power corrupts absolutely" (kuasa merosakkan dan kuasa yang mutlak akan rosak dengan mutlaknya).
Secara umumnya terdapat dua cara bagaimana Islam mengawal kecenderungan kuasa kepada kerosakan dan rasuah.
Pertamanya, Islam melakukan satu reformasi tentang konsep kuasa itu sendiri iaitu dengan menghalang mana-mana manusia daripada sebarang kuasa yang bersifat mutlak dalam apa jenis dan bentuk sekalipun.
Justeru itu di dalam Islam kuasa itu mesti dipertanggungjawabkan dan fungsi kuasa ditafsirkan dan dihadkan secara jelas. Di dalam sebuah hadis Rasululullah s.a.w. menyatakan secara jelas konsep pertanggungjawaban kuasa apabila Baginda s.a.w. menyatakan setiap orang adalah ibarat pengembala dan akan ditanya tentang gembalaannya.
Hatta Baginda s.a.w memperincikan tentang konsep pertanggungawaban kuasa itu dari sekecil-kecil unit yang berkuasa (seperti seorang suami, isteri, hamba dan tuan) dan kepada mereka yang memegang tampuk pemerintahan (Al-Imam (Perdana Menteri/Presiden ) yang semuanya akan ditanya mengenai perlaksanaan kuasa tersebut.
Keduanya Islam juga memberi kebenaran kepada rakyat untuk menentang sebarang bentuk kuasa yang disalahgunakan sehingga membawa kerosakan kepada masyarakat. Atas dasar itu di dalam Islam, sepertimana yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. jihad yang paling baik (afdal) adalah bercakap benar di hadapan raja atau pemerintah yang zalim.
Di atas kesedaran bahawa kuasa boleh rosak dan merosakkan, Allah menurunkan para Rasul. Keperluan manusia kepada Rasul adalah suatu hakikat yang tidak boleh dipertikaikan kerana manusia amat perlu kepada seseorang yang bangkit di kalangan mereka yang mempunyai kekuatan untuk melawan pengaruh kuasa dan menunjukkan contoh yang baik dan praktikal bagaimana mereka berhadapan dengan pengaruh kuasa yang luas dan ganas itu.
Hanya para Rasul yang diutuskan oleh Allah boleh memikul tugas dan peranan tersebut. Boleh dikatakan kebanyakan para Rasul diutuskan oleh Allah daripada golongan yang lemah dan tidak berkuasa di dalam masyarakat.
Lihatlah sebagai contoh Nabi Musa a.s. yang amat lemah itu berhadapan dengan Raja yang amat berkuasa iaitu Firaun.
Lihat juga contoh Rasulullah s.a.w. yang bukan sahaja berhadapan dengan para penguasa yang amat berkuasa tetapi juga diberi peluang oleh Allah menjadi seorang Perdana Menteri sebuah negara Islam iaitu Al-Madinah Munawwarah.
Meskipun Baginda seorang Presiden, kuasa tersebut tidak sama sekali mempengaruhi diri dan peribadi Rasullullah s.a.w.. Lihatlah sewaktu Rasulullah sedang sakit tenat, Baginda masih berwasiat kepada isterinya Ummahatul mukmimin Aishah r.a. supaya membelanjakan wang sebanyak tujuh dinar yang masih ada di dalam rumah Baginda sambil berkata: "Bagaimanakah Muhammad boleh berjumpa dengan Tuhannya sedangkan di dalam rumahnya masih ada tujuh dinar."
Tujuh dinar sahaja di sebuah rumah seorang Presiden? Ya, itulah Presiden sebuah negara Islam yang tidak pernah menganggap kuasa sebagai lesen untuk membina empayar kekayaan sama ada untuk dirinya atau kaum keluarganya.- tajdid _
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment