Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Tuesday, June 9, 2009

Revolusikan Melayu (I)

Melayu adalah kaum yang terawal menjejakkan kaki ke bumi Tanah Melayu. Menjadi penduduk asal Malaysia di samping menerima kedatangan pendatang-pendatang asing bangsa Cina dan India suatu ketika dahulu menjadikan mereka terasa gah. Mendapat keistimewaan dan hak yang terjaga dalam perlembagaan Malaysia menjadikan mereka semakin layu dan gagal bersaing di pentas dunia. Tidak dinafikan ada di antara Melayu yang mampu membawa nama Malaysia ke serata dunia dengan pencapaian yang membanggakan, namun jika dinisbahkan jumlah yang berjaya mengharumkan negara dan mereka yang berjaya menduduki kandang-kandang besi sungguh besar jurangnya.
Dari satu bangsa yang gagah di Zaman Kesultanan Melayu Melaka menjadi satu bangsa yang kehilangan jati diri di era ini.

Di manakah silapnya? Persoalan ini mungkin mempunyai pelbagai jawapan mengikut tafsiran masing-masing.

Jawapannya mungkin salah melayu sendiri.

1. Rancangan Televisyen
Dalam era teknologi kini, setiap rumah sudah pasti mempunyai televisyen sendiri di rumah. Televisyen merupakan suatu alat hiburan yang boleh jadi member manfaat dan dalam masa yang sama boleh memberi mudharat yang besar kepada pengguna. Di sini ingin saya mengutarakan beberapa rancangan televisyen yang merosakkan orang Melayu sendiri antaranya ialah rancangan seram Keliwon dan Tom Tom Bak di Astro.

-Rancangan-rancangan seram seperti Keliwon dari TV3 menceritakan tentang realiti yang dilakukan oleh kebanyakkan masyarakat Melayu yang masih berpegang pada kepercayaan khurafat dan mensyirikkan Allah. Rancangan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa orang melayu itu lemah dan masih berada dalam keadaan jahiliah yang sekaligus memberi persepsi negative kepada orang melayu sendiri. Penerangan yang tidak jelas dalam aspeks agama Islam mengenai perbuatan khurafat yang dilakukan dalam rancangan tersebut pasti sahaja boleh menyesatkan mereka yang menonton dan menjadikan aqidah yang mereka pegang terpesong.

Rancangan Tom Tom Bak di Astro merupakan suatu rancangan kanak-kanak yang popular pada hari ini. Rancangan yang berunsur ceria ini pasti mendapat tempat dikalangan masyarakat khususnya Melayu. Kebanyakkan peserta dan penonton yang hadir di studio rakaman terdiri daripada mereka yang berbangsa Melayu. Rancangan ini terdiri daripada

3 segmen iaitu
• Anmum Essential Jom Borak - adik-adik berkongsi pendapat
• Ada Bakat Ke? - Saksilah persembahan hebat
• Anmum Essential EJA! - Mari mengeja bersama-sama!

Walaupun mempunyai slot yang mengajar dan mengajak kanak-kanak mengeja, ia tidak mampu menutup mudharat yang dibawa daripada slot-slot yang lain di mana kanak-kanak disuruh menari menunjukkan bakat mereka dengan berpakaian yang kurang sopan dan slot bertukar pendapat yang matlamatnya bukan menguji IQ kanak-kanak tetapi menjadi bahan gelak kepada penonton. Pendedahan awal kanak-kanak terutamanya Melayu kepada perkara sedemikian sudah pasti membantutkan usaha melahirkan generasi yang berdaya saing untuk mewarisi kepimpinan negara nanti.

Mereka adalah kanak-kanak yang tidak arif tentang dunia dan sudah menjadi tanggungjawab untuk kita sebagai orang dewasa menjadi guider mereka yang baik.

Selain menyediakan Rancangan Televisyen yang bermatlamatkan untuk mendapat rating yang tinggi dikalangan penonton, pemilik-pemilik syarikat saluran televisyen dan Kementerian Penerangan perlu memainkan peranan dengan melihat kesan jangka masa panjang sesuatu rancangan sebelum di keudarakan.
Rancangan ilmiah seperti kanak-kanak Kilat, Bicara Siswa, Mari Mengaji perlu pertingkatkan untuk menjadikan Malaysia mampu melahirkan masyarakat yang berdaya saing khususnya Melayu.






Tuesday, May 26, 2009

ISU PERAK BUKTI KEHANCURAN SISTEM KEHAKIMAN

ISU PERAK BUKTI KEHANCURAN SISTEM KEHAKIMAN

Short Post:
Akhirnya Zambry telah secara rasmi menjadi Menteri Besar Perak. Rasmi?

Jawapannya ialah “ya”.
Samada anda mahu terima atau tidak. Tetapi anda telah terima secara tidak sedar. Tahukah anda?

Kita lihat bagaimana bijaknya puak BN mengesahkan Zambry menjadi menteri Besar.

Ketika Zambry naik dahulu, Perak terdapat 2 menteri Besar iaity Zambry dan Ir Nizar.


Kenaikan Zambry tidak diiktiraf kerana kenaikan dia tidak mengikut prosedur yang betul.

Ir Nizar mengambil keputusan memfailkan judicial review pada 13 Feb yang lepas.

23 Mac, Mahkamah Persekutuan memutuskan supaya kes tersebut didengarkan ke Mahkamah Tinggi.

Zambry tidak diiktiraf oleh rakyat.

Sehingga Mahkamah Tinggi mengeluarkan keputusannya, kita telah mengiktiraf ada 2 Menteri Besar di Perak.

Pada Isnin 11 Mei lepas, Hakim Abdul Aziz Abd Rahim mewakili Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Ir Nizar adalah menteri besar yang sah.

Semua rakyat yang menyokong PR bergembira.

Rakyat Malaysia sekaligus mengiktiraf bahawa Perak mempunyai seorang menteri besar iaitu Ir Nizar.

12 Mei, Zambry mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan pengumumaan Ir Nizar sebagai menteri besar yang sah.

22 Mei, Zambry telah dilantik secara rasmi menjadi Menteri Besar Perak yang sah oleh mahkamah rayuan dan menolak keputusan mahkamah tinggi.

Rakyat Malaysia secara sedar terpaksa mengiktiraf bahawa menteri besar perak ada satu iaitu Zambry.

P/S- One Malaysia? Revolusi sistem kehakiman?

Jawabla nanti kat sistem kehakiman di akhirat. No more lies




Sunday, February 1, 2009

ISU PPSMI: SUATU PERSPEKTIF

Sejak akhir-akhir ini isu ini hangat diperkatakan di seluruh negara. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI sememangnya boleh menjadi key factor atau catalyst kepada kemajuan Malaysia namun adakah kebaikannya mampu menampung ruang-ruang lompong yang terdapat pada sistem ini. Terbaru perasmian Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dilancarkan di SOGO, Kuala Lumpur yang dihadiri ratusan pejuang pencinta bahasa ibunda dan tidak kurang yang hadir atas dasar politik. Di sini saya akan mengulas pendapat peribadi mengenai isu ini.

Isu ini mungkin bagi sesetengah orang adalah isu sensitif yang melibatkan tentang bahasa ibunda mereka, hak keistimewaan orang Melayu, jati diri dan sebagainya tapi tidak kurang yang menanggapnya sebagai isu remeh temeh yang dimainkan untuk kepentingan politik.

KELEBIHAN PPSMI

PPSMI diwujudkan atas dasar untuk meningkatkan mutu akademik tidak kira luar dan dalam bandar. Penggunaan Bahasa Inggeris yang meluas telah mendesak kerajaan supaya melakukan perubahan terhadap sistem akademik negara untuk memastikan tahap pencapaian akademik setanding dengan pencapaian pelajar di luar negara.

Di dada akhbar seringkali terpampang bahawa dasar PPSMI ini telah berjaya menaikkan prestasi pelajar (kata-kata pak-pak Menteri Malaysia)

Dari sudut Islam, kita perlu akur bahawa Bahasa Inggeris sangat luas penggunaan pada era ini. Tahap penguasaan dai’e dalam Bahasa Inggeris sangat penting untuk memastikan risalah dakwah dapat disampaikan secara efektif dan menyeluruh.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa banyak lagi cara lain yang boleh digunakan selain pengajaran di sekolah yang dilakukan kerajaan sekarang. Namun bagi saya, keadaan di Malaysia mungkin berlainan. Bukan sahaja pelajar berada di zon selesa, rata-rata masyarakat di Malaysia sememangnya berada di zon selesa. Tanpa paksaan seperti PPSMI masyarakat Malaysia pasti tidak memikirkan bagaimana untuk memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Mungkin ada yang sedar dari dulu lagi, namun jumlah itu mungkin tidak banyak. Jadi PPSMI ini secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan para dai’e suatu hari nanti.

KEKURANGAN MELEBIHI KELEBIHAN

Bilamana isu ini dikaitkan dengan peningkatan akademik saya pasti berada di dalam golongan mereka yang menyokong. Namun, bagaikan musuh di dalam selimut, ia juga boleh menjadi bahaya yang akan menusuki saraf-saraf manusia sedikit demi sedikit.

Saya tidak akan mengulas lebih lanjut tentang kaitan perjuangan menolak PPSMI dengan dasar sasterawan negara yang menolak kerana mencintai bahasa ibunda dan sebagainya. Bagi saya Melayu adalah Melayu. Yang pasti tidak akan hilang di dunia ini adalah Islam bukan Melayu.

Rasulullah menyebut dalam khutbah terakhir baginda di Lembah Uranah, Gunung Arafah pada 9 Zulhijjah Tahun 10H.

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnahku.”

Ayat-ayat ini sangat menusuk hati bagi mereka yang menggelarkan mereka Muslim. Dalam keadaan hidup yang sangat jauh dari zaman baginda, kita ditinggalkan dengan kitab untuk beriman dengannya dan berpegang pada sunnah baginda supaya tidak sesat.

Dunia zaman sekarang, sudah jauh dengan apa yang diajarkan Al-Quran. Umum tahu bahawa untuk berpegang pada Al-Quran kita perlu mengetahui dan menghayati maksud yang tersurat dan tersirat dalam Al-Quran. Pada kala ini, Al-Quran telah diterjemah kepada pelbagai jenis bahasa termasuk Bahasa Melayu namun tidak semua dapat menghayati Al-Quran walaupun bahasa ibunda mereka adalah Bahasa Melayu.

Jika PPSMI ini bakal melahirkan mereka yang menguasai Bahasa Inggeris dengan baik tetapi belum tentu mereka dapat menghayati Al-Quran itu dalam Bahasa Inggeris. Buktinya ialah zaman kini, walaupun penggunaan Bahasa Melayu meluas dan sudah lama digunakan namun ramai yang tidak mampu menghayati Al-Quran. Ini kan pula menghayati dalam Bahasa Inggeris yang bukan bahasa ibunda mereka.

Kerosakan akhlak akan menjadi-jadi, tambahan pula dengan galakkan menonton filem-filem Inggeris. Penularan budaya kuning dalam negara mungkin akan menjadi lebih cepat dan tindak balas yang dilaksanakan kerajaan yang berpaksi pada sekularisme pasti tidak dapat mengatasi masalah ini.

Dari sudut kebajikan rakyat pula, PPSMI bersifat tidak adil kerana pembelajaran dalam Bahasa Inggeris ini mungkin boleh balance kan dengan menghantar anak-anak ke tuisyen atau kelas tambahan yang memerlukan belanja lebih. Namun bagi petani dan nelayan yang makan pagi kais pagi dan makan petang kais petang, mereka jauh sekali mampu menampung kos tuisyen tersebut. Masyarakat luar bandar mungkin sekali payah untuk mengasimilasikan diri mereka dengan pembaharuan PPSMI ini.

PENYELESAIAN

Kembali kepada Al-Quran. Jika masyarakat lahir dan hidup dengan suasana Islam pasti secara tidak langsung mereka mengetahui tentang kepentingan menguasai ilmu termasuklah Bahasa Inggeris untuk merealisasikan dakwah Islam yang mereka dokong. Tidak perlu kepada paksaan seperti PPSMI, mungkin sahaja Ibnu Sina, Jabir Al-Hayyan dan seangkatan dengannya akan lahir jika kita kembali pada Al-Quran dan menInqilabiyyahkan sistem jahiliah di Malaysia. Sekadar suatu pandangan…


Wednesday, December 31, 2008

kita dan palestin

diambil dari http://nikabduh.wordpress.com
Salam Kamunting,

Jika anda berniat mendermakan sebahagian daripada wang anda untuk Palestin, anda sebenarnya masih tak faham - faham isu Palestin. Palestin bukan soal derma dan sedekah. Palestin adalah jihad dan kewajiban. Tuhan kita berkata, berjihadlah dengan harta dan nyawa kamu..

Wang, bahkan nyawa setiap umat Islam adalah tagihan Allah untuk bumi yang disucikanNya itu. Tiada muslim yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad Palestin sepanjang zaman kecuali tuahnya pasti direntap bumi suci itu di akhirat nanti.

Palestin adalah sebahagian ujian Allah ke atas umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Dari tiga bumi suciNya ( tanah haram ) itu, Allah memberi keamanan untuk Makkah dan Madinah, tetapi tidak untuk Palestin. Palestin sentiasa berdarah dan jika ia aman seketika atau lebih lama daripada itu, di sekelilingnya adalah penuh dengan komplot dan konspirasi musuh untuk merampas dan menghancurkannya kembali.


Ia menjadi rebutan sepanjang zaman untuk umat tiga agama langit yang memiliki kitab samawi masing - masing yang mendakwa sejarah pendudukan dan pemerintahan di situ. Jika tidak kerana Allah menghukum dan memutuskan bahawa bumi haramNya itu adalah milik hambaNya yang bertaqwa yang berada di atas jalanNya yang lurus, iaitu Islam, agama tauhid nabi Ibrahim al hanif alaihissalam, iaitu datuk kepada ketiga - tiga umat tersebut, maka tiadalah umat Islam memiliki hujjah mutlak untuk memilikinya.

Mencintai Palestin adalah tanda iman dan taqwa. Kita mesti mencintainya melebihi kecintaan kita kepada tanah air sendiri.

Roda zaman yang berpusing menentukan bahawa bangsa Yahudi telah berjaya merampas dan mendudukinya kini selepas perjuangan lama mereka untuk menguasainya semenjak ribuan tahun dahulu. Selepas mereka menguasainya, impian dan angan - angan mereka begitu memuncak bahawa merekalah anak - anak tuhan yang diberkati segala tindakan mereka.

Hanyalah yang menghantui keyakinan mereka adalah pengetahuan tersembunyi mereka bahawa Palestin ini sebenarnya dan kesudahannya adalah milik umat yang menjadi musuh nombor satu mereka. Mereka tahu Palestin adalah untuk umat Islam.

Hari ini, saat kita dan seluruh umat Islam cuba membina keyakinan dan azam baru di awal tahun baru hijrah, Palestin dibedil dan dibakar oleh Yahudi, musuh Allah, malaikat, manusia dan seluruh makhluk kecuali syaitan daripada kalangan jin dan manusia.

Negara Israel hari ini yang menghimpunkan bangsa Yahudi sedunia itu tahu bahawa mereka tidak boleh hidup dengan hidupnya Islam. Justeru harapan, azam, keyakinan dan masa depan umatnya harus sentiasa dilumpuhkan dan dipadamkan dengan apa jua senjata dan peralatan. Umat Islam mesti kekal putus asa, putus harapan dan putus hubungan dengan tuhannya.

Membunuh umat Islam adalah ibadah dan persembahan mereka kepada tuhan mereka yang mereka ciptakan sendiri.

Palestin ceritanya panjang dan akan terus memanjang sehingga kiamat. Bermula keamanan dunia adalah dengan amannya Palestin dan bermula kecelakaan dunia adalah dengan celakanya keadaan di bumi Palestin. Begitulah Allah menetapkan sunnahNya bahawa Palestin adalah ujian kehidupan manusiawi.

Anda mesti tahu dan mesti akur bahawa lecehnya pengetahuan anda tentang Palestin adalah petanda lecehnya anda di sisi perjuangan Islam.

Jangan harapkan negara - negara Arab untuk mengembalikan Palestin. Sehingga semalam pun, mereka tidak mampu menyapu dan membersihkan diri daripada tohmahan bahawa mereka adalah sebahagian konspirasi pengeboman di Genting Gaza. Mereka membisu seperti bisu anak dara yang melakukan zina. Negara Arab yang berzina dengan Israel! Ah, sejak bila mereka menerima kehadiran HAMAS? Apatah mengiktiraf mereka sebagai rakan hidup dan mati? Sedangkan mereka tahu bahawa HAMASlah nyawa dan nadi umat Islam Palestin hari ini.

Anda hanya perlu meneka, siapakah yang lebih takutkan HAMAS? Israel atau Arab nasionalis syirik itu sendiri?

Jangan pula mengharapkan negara kita. Negara kita tidak akan menyokong HAMAS sebab HAMAS adalah saudara PAS. Mengharap pemerintah negara bertindak untuk Islam di Palestin adalah seperti mengharapkan perempuan mandul melahirkan anak atau seperti mengharap lelaki yang telah dikasi untuk mensyahwati perempuan.


Dalam dunia yang penuh nifaq dan kekufuran, harapan adalah terletak di atas bahu sekelompok umat Islam yang berjuang untuk kembali kepada Islam yang sebenar. Harapan dan keyakinan masa depan adalah daripada umat yang bersedia menghidupkan kewajiban berjihad fi sabiliLlah.

Setiap kita mestilah mengambil bahagian melaksanakan kewajiban membebaskan bumi suci Palestin.

Jika 10,000 umat Islam di Malaysia menyimpan RM100.00 setahun untuk perjuangan membebaskan al Masjidil Aqsa daripada cengkaman zionis Yahudi, maka wakil pejuang Islam Palestin yang datang ke negara kita akan pulang ke medan jihad dengan RM1 juta dari rakannya di Malaysia.

RM1 juta itu banyak tetapi ia adalah terlalu kerdil di hadapan bilionan dolar yang dibelanjakan oleh Yahudi dan sekutu Amerikanya untuk menjajah tanah suci itu. RM1 juta itu banyak, tetapi ia adalah sedikit di banding 15 juta umat Islam di negara kita. Atas nama kewajiban ugama, umat Islam di Malaysia semestinya mengeluarkan puluhan juta ringgit untuk perjuangan suci ini.

Sekali lagi, usah mengharap dan berangan wang saku kerajaan nasionalis Melayu akan tumpah walau setitik ke Palestin. Jika ia menitik, ia akan jatuh ke anak mata buat mengaburi pandangan mata. Pemimpin nasionalis Melayu ini pula, bila masa mereka cukup duit? Mata mereka tidak melihat kecuali duit.

Allah tidak menerima RM100.00 yang kita keluarkan itu. Allah menerima taqwa di dada kita. Taqwa kitalah yang akan menggapai Tuhan dan ridhaNya. Ertinya, bukanlah RM1 juta yang perlu kita kumpulkan daripada 10,000 umat Islam di Malaysia, bahkan kita memerlukan sejumlah hambaNya yang bertaqwa yang berjuang di atas jalanNya yang benar. Apabila ada taqwa, adalah wang yang dikeluarkan atas nama kewajiban dan jihad.

100 orang kaya di negara kita yang bertaqwa sudah cukup untuk menghantar RM1 juta atau lebih ke Palestin. 1000 umat Islam daripada masyarakat bandar pertengahan yang bertaqwa sudah cukup untuk menghasilkan RM1 juta untuk Palestin.

Jika setiap kita bertekad untuk menggabungkan diri dalam 10,000 umat Islam negara yang tidur bangunnya adalah untuk Palestin dengan berazam menjadikan perjuangan membebaskan bumi suci itu sebagai sebahagian amal jihadnya di hadapan Allah di padang mahsyar kelak, pastinya kita mampu saja menghantar RM10 juta setiap tahun ke sana.

Ia adalah jumlah yang sedikit. Tetapi bayangkan betapa gembiranya rakyat Palestin, terutama para pejuangnya apabila mendengar jumlah wang sebanyak itu datang daripada saudara mereka di Malaysia yang menyokong perjuangan mereka. Bayangkan betapa roh jihad mereka akan semakin panas dan membara buat membakar Yahudi laknatuLlah itu.

Saya membubuh angka agar anda tahu bahawa Allah mengurniakan pahalanya dengan angka dan juga berat. Dua rakaat masing - masing di Masjid Nabawy, di Masjidil Haram dan di Masjidil Aqsa adalah bersamaan lebih ratusan ribu rakaat berbanding dua rakaat dan sujud anda di masjid Putra Jaya atau di balaisah di hadapan rumah anda.

Bukan negara - negara umat Islam yang hidup penuh dayus dan nifaq hari ini yang akan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan. Mereka adalah bagai buih - buih yang dilambung ombak tanpa perlu dihirau hitung berapa beratnya.

Sudikah setiap kita untuk mendaftar diri sebagai pejuang Islam untuk pembebasan Palestin? Jika anda sudi, isilah borang dengan tinta taqwa di dada anda.

Membebaskan diri daripada cengkaman pemerintahan nasionalis Melayu di negara kita juga adalah sebahagian perjuangan jangka panjang membebaskan bumi Palestin. Sudahkah anda membilang wang di saku untuk dihantar kepada pejuangan Islam di dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu?

Kata - kata ini adalah benar. Jangan ada yang mentakzibkannya..

Biarlah perancangan dan segala takhtitaat membebaskan bumi Palestin itu kita serahkan kepada pakarnya, terutama para pejuang di medan. Kita patut mengetahuinya. Yang lebih penting, kita laksanakan kewajiban kita sendiri. Berjihad dengan harta kita untuk Palestin atau dengan harta, nyawa dan segenap kepunyaan untuk membebaskan Malaysia daripada benteng yang memisahkan umat Islam daripada Islam yang sebenar. benteng itu perlu dirobohkan dan benteng itu adalah UMNO.

Apabila UMNO runtuh dan Islam kembali, Palestin adalah di mata negara Malaysia yang kaya, insya Allah.




Tuesday, December 30, 2008

DI SEKITAR WACANA TRANSFORMASI POLITIK HUSAM MUSA-KHAIRY JAMALUDIN-ABDUL AZIZ BARI

Forum Transformasi Politik Malaysia telah berjaya mengamit atmosfera politik tanah air. Wacana yang mengambil masa selama lebih kurang 2 jam itu telah diadakan di bumi Kelantan Darul Naim dengan kehadiran majoritinya ahli PAS dan menurut suatu sumber Khairy Jamaludin (KJ) telah ditemani seramai 50 orang Pemuda UMNO. Forum ini telah dipengerusikan oleh Professor Agus.

AGAMA DAN POLITIK
Isu terbesar yang dibangkitkan ialah soal pemerintahan yang menggunakan undang-undang hudud. Isu hudud ini telah lama dibangkitkan sejak pada pilihanraya tahun 90-an lagi apabila PAS berjaya memenangi Kelantan. Dalam wacana tersebut Husam Musa dengan lantangnya menyatakan kesediaannya (yang mewakili kesediaan PAS) untuk melaksankan Hudud sekiranya Pakatan Rakyat menang dan menguasai Parlimen. Husam menambah bahwa selama ini memang PAS hendak melaksanakan hukum Hudud tetapi malangnya dihalang oleh Kerajaan Pusat.

KJ yang mendengar statement Husam terus menerus menggunakan isu ini untuk menyatakan ketidakpercayaannya kerana PAS adalah salah satu parti di bawah Pakatan Rakyat yang juga dianggotai oleh Keadilan dan DAP yang mempunyai dasar masing-masing. Dalam pada itu, Professor Aziz Bari menyatakan menjadi tanggungjawab kerajaan Pusat untuk melaksanakan Hudud sekiranya kerajaan Negeri tidak mampu berbuat demikian.

Apabila diajukan kepada KJ mengenai kesanggupannya untuk melaksanakan Hudud, dia menyatakan bahawa pendiriannya ialah menggunakan pelembagaan yang telah sedia ada.

Persoalannya sekarang, apakah manusia mempunyai kuasa untuk menggunakan undang-undang yang mereka cipta sendiri dan mengenepikan undang-undang yang diturunkan Allah untuk manusia ikut? Apakah undang-undang manusia lebih baik daripada undang-undang Pencipta?

Ayuh kita ketepikan sentimen politik seketika, persoalan-persoalan ini adalah sangat penting untuk kita fahami kerana ianya berkaitan dengan akidah kita yakni ikatan kita dengan Allah. Sebagai seorang Muslim, kita wajib menyakini bahawa undang-undang yang dicipta Allah adalah sempurna. Dialah yang mengetahui akan baik buruk manusia, Dialah yang mengetahui setiap segala sesuatu yang tersimpan dalam lubuk hati manusia.

Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat ke 44,45 dan 47:
“…dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.” sebahagian ayat 44
“...dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang zalim.” sebahagian ayat 45
“…dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang Yang fasik.” sebahagian ayat 47

Melalui ayat di atas jelas bahawa kita perlu menggunakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah. Hukum ini hendaklah bersih daripada sebarang ideologi-ideologi ciptaan manusia (tajarrud).

Pernah sekali saya bertanya kepada seorang ustaz, adakah hukum ini perlu dilaksanakan sejurus kita menguasai kerajaan Pusat. Adakah esoknya kita perlu laksanakan hudud? Lalu ustaz itu menjawab, pelaksanaan itu boleh bersifat tadrij yakni beransur-ansur berdasarkan situasi yang berlaku pada waktu itu, namun mesti mempunyai keazaman dan usaha untuk kearah pelaksanaann undang-undang tersebut.

Bersangkut paut dengan ini adalah kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menyatakan bahawa beliau yakin pada suatu hari nanti masyarakat akan menerima hukum hudud ini sepertimana rakyat Malaysia menerima kerjaan Islam Kelantan sekarang. Mungkin ia akan mengambil masa 10,20 atau 30 tahun.

FITNAH KE ATAS ISLAM DI LAKUKAN OLEH ORANG ISLAM SENDIRI
Hukum hudud yang digambarkan oleh umat Islam sekarang adalah suatu hukum yang kejam. Bak kata Ustazah Mashitah “bila curi tangan kangan potong tangan kanan, bila curi tangan kiri potong tangan kiri, bila curi dengan kaki potong kaki, lepas itu potong apa pulak…” dalam suatu ceramah dakyahnya. Demikian Mashitah mengambarkan seolah-olah hukum hudud itu hukum yang kejam dan tidak praktikal.

Selain itu, sejurus selepas Wacana Transformasi Politik Malaysia ini, media terus memainkan peranannya menjadikan hukum hudud ini sebagai alat untuk melagakan Pakatan Rakyat. Lim Guan Eng contohnya menolak hukum ini dilaksanakan kerana tidak pernah dibincangkan dalam Pakatan Rakyat dan tiada dalam manifesto Pakatan Rakyat sejurus dihubungi pihak media. Manakan seseorang itu hendak menerima sesuatu yang dia tiada pengetahuan tentangnya…

Saban hari isu ini semakin diperbesar-besarkan. Sepatutnya peranan media-media yang kebanyakannya orang Islam ini bukan memainkan isu ini untuk kepentingan sesebuah pihak tetapi sebaliknya member PENERANGAN apakah hukum hudud itu sebenarnya, bagaimanakah pelaksanaanya boleh mendatangkan kebaikan kepada semua pihak dan sebagainya?

Golongan-golongan ulama’ yang memperjuangkan Islam ini terus difitnah ingin membelot Pakatan Rakyat. Adakah kepentingan politik itu lebih besar daripada kepentingan Islam sehingga hukum Allah ini dipermain-mainkan? Sesungguhnya kita tidak lain dan tidak bukan hanyalah hamba kepada-Nya.

“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” Az-Zariyat: ayat 56

THE ARROGANCE OF POWER

Selain daripada tujahan mengenai hukum hudud, sentimen-sentimen politik, satu lagi isu yang dibangkitkan ialah mengenai konsep The Arrogance of Power.

Pemahaman mudahnya ialah penggunaan kuasa yang melampau disebabkan oleh sikap ego. Jika kita mengambil contoh mudahnya ialah George W Bush yang menggunakan kuasa veto Amerika untuk menyerang negara-negara yang lemah seperti Afghanistan, Iraq dan menyokong serangan terhadap Palestin oleh Israel.

Dalam konteks Malaysia, tidak dinafikan dalam Pakatan Rakyat yang baru menguasai beberapa negeri, telah menunjukkan contoh yang kurang baik dengan menggunapakai konsep ini. KJ dalam forum itu membangkitkan isu 16 September yang diwar-warkan oleh Pakatan Rakyat untuk peralihan kuasa Kerajaan Pusat kepada Pakatan Rakyat.

Namun perlu diingat Kerajaan sekarang yang telah memerintah seberapa lama di Malaysia, pelbagai contoh konsep ini telah digunapakai. Internal Security Act (ISA) contohnya adalah akta yang seringkali digunapakai oleh kerajaan untuk kepentingan politik mereka, selain itu Akta Universiti dan Kolej Universiti, isu Pelantikan Hakim, kebebasan Media, isu harga minyak dan pelbagai lagi contoh lain yang boleh kita ambil.

Dalam pada itu, Professor Aziz Bari menerangkan bahawa dalam parlimen, pembangkang telah banyak kali memberikan sokongan kepada kerajaan sekiranya sesuatu isu atau dasar itu bakal mendatangkan kebaikan untuk rakyat contohnya Isu Palestin tetapi kerajaan tidak pernah memberikan sokongan kepada pembangkang jika sesuatu isu yang dibawa itu untuk kepentingan semua.

KEBERANIAN PERLU PADA TEMPATNYA

Wacana yang berlangsung di Kelantan itu walaubagaimanapun menunjukkan keberanian KJ yang sanggup turun ke Kelantan iaitu kubu kuat PAS. Kedatangannya itu mungkin disebabkan oleh keyakinannya terhadap perubahan demi perubahan yang dilakukan oleh kerajaan baru-baru ini.

Pindaan terhadap AUKU dan penubuhan 2 buah suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Pelantikan Hakim (SPK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan modal yang digunapakai KJ sepanjang forum tersebut. Walaupun mendapat tentangan dari Prof Abd Aziz Bari, Husam Musa dan penyokong-penyokong PAS, dia kelihatan tidak tertekan malah setiap ucapannya menunjukkan semangatnya yang berkobar-kobar walaupun pada hakikatnya perjuangan dia adalah bersifat duniawi semata-mata.

Semangat seperti ini sepatutnya ada pada jiwa Rijal Ad-Dakwah yang tidak ada perkataan berputus asa dalam kamus hidup mereka. Berbekalkan matlamat yang jelas iaitu mengajak manusia ke arah pengabdian diri kepada Allah, ia sepatutnya menjadi kunci untuk menaikkan semangat pemuda-pemuda ini.

Seperti mana ucapan Abdullah Bin Rawahah dalam Perang Mu’tah kepada tentera Islam yang menyaksikan tentera Islam 3000 orang berhadapan dengan 200,000 orang tentera Romawi
“…kita mesti meneruskan perjuangan ini dan sama ada kita peroleh mati syahid atau kemenangan dalam peperangan ini”

KESIMPULAN
Wacana berbentuk seperti ini sangat baik kerana membudayakan budaya intelektual di kalangan rakyat Malaysia. Secara keseluruhan Wacana ini tidak memberikan gambaran jelas mengenai tajuk yang ingin di bawa kerana isu yang sama sering dimain-mainkan.