Wednesday, October 13, 2010

LAGI-LAGI UTUSAN: Kenapa perlu persoalkan orang mahu menderma?



Semalam(13 Oktober 2010) UTUSAN sekali lagi membuat perkara yang tidak sepatutnya malahan menimbulkan pelbagai persoalan terhadap kredibiliti akhbar tersebut.

Berita di muka hadapan akhbar UTUSAN semalam yang bertajuk ‘Rakyat Malaysia pemurah tak bertempat’ pastinya mengundang ketidak puas hatian ramai pihak.

Menurut berita ‘hebat’ akhbar tersebut menyatakan perasaan bangga dengan kejayaan ‘Penyamaran’ empat wartawan Utusan Malaysia sebagai pengemis untuk menunjukkan sikap rakyat Malaysia yang sangat pemurah dan mudah bersimpati.

Antara helah yang digunakan ialah berlagak tempang dengan menggunakan balutan di kaki, berpura-pura bisu dan kurang siuman, menyamar anak yatim piatu dan sebagainya.

Antara ayat yang dibangga-banggakan oleh wartawan UTUSAN ialah

‘’hanya bermodalkan tin kosong dan balutan di kaki…”

“Dalam tempoh 2 minit, wartawan dengan mudah diberi RM 1 oleh warga kota yang lalu lalang…”

“Sepanjang penyamaran itu, hasil tertinggi diperoleh ialah RM 100 iaitu hanya dengan berdiri di luar pintu masjid sebelum dan selepas solat Jumaat”

Jelas dan ketara UTUSAN sudah tidak ada berita lain yang perlu dilaporkan melainkan membuat kerja yang tidak berfaedah, menyamar dan membuang masa.

Perlukah dipersoalkan mereka yang berkeinginan untuk menderma? Salahkah mereka ini?

Siapakah yang perlu disalahkan mereka yang menderma atau mereka yang meminta?

Perlukah kita hendak bertanya kepada setiap peminta sedekah ‘kau nie betul sakit ke?’ atau ‘kau jangan main-main, aku nak bagi kau duit nie, baik mengaku?’

Bagi saya sangat tidak berbaloi untuk UTUSAN melaporkan berita sebegitu di muka hadapan dan mempersoalkan masyarakat Malaysia pemurah dan tidak bertempat. Malahan ia suatu tamparan dan hinaan kepada masyarakat yang seolah-olah tidak matang dalam membuat keputusan dalam kehidupan seharian.

Biarlah masyarakat hendak menderma dan juzuknya ialah kerajaan atau pihak sepatutnya seperti UTUSAN perlu mendedahkan bagaimana hendak menangani mereka yang berpura-pura meminta sedekah tersebut. Saya balas balik dengan perkataan yang digunakan pada Rencana berkenaan UTP baru-baru ini

“Mengapa UTUSAN pendek akal untuk mengeluarkan berita seperti itu?”

Malahan tidak keterlaluan saya mengatakan bahawa baru-baru ini UTUSAN mengeluarkan berita pelajar UTP menipu, tetap di masa yang sama mereka menipu masyarakat awam dengan penyamaran mereka!

Tolonglah jaga isi kandungan. Ini adalah teguran ikhlas untuk anda mengambil pengajaran bahawa kami BENCI UTUSAN! Kami memang boikot UTUSAN tetapi janganlah malukan rakyat Malaysia dengan berita-berita tersebut. Jangan nanti ada akhbar luar Negara yang membuat artikel memalukan UTUSAN.

UTUSAN: Satu Kesalahan Menutupi Seribu Kebaikan



UTP secara rasmi telah ditubuhkan pada 10 Januari 1997 kerana menyambut seruan kerajaan untuk menyediakan modal insan yang tinggi dan berdaya saing ke arah mencapai Wawasan 2020.

UTP memberi fokus kepada aspek kejuruteraan dan teknologi telah melahirkan beribu-ribu graduan yang kini menyumbang kepada negara di dalam industri. PETRONAS sendiri menggunakan banyak tenaga manusia dari UTP untuk memastikan kelestarian PETRONAS sendiri.

Pada tahun ini, UTP telah meletakkan dirinya setaraf dengan IPT lain yang jauh lebih tua apabila diangkat antara 18 universiti yang mendapat anugerah cemerlang(Tier 5) dalam Sistem Penarafan Institut Pengajian Tinggi (SETARA) 2009. Selain itu UTP juga telah membuka ruang pelajar tempatan untuk menikmati suasana pembelajaran di luar negara melalui pelbagai program antaranya Program Penukaran Pelajar melalui menandatangani Memorandum Kesefahaman dengan kebanyakan universiti-universiti ternama di seluruh dunia seperti Universiti Meiji (JEPUN), Universiti Lehigh(US), Universiti Missouri(US) dan lain-lain.

Setiap tahun pelbagai aktiviti kemasyrakatan akan diadakan untuk membantu masyrakat tempatan dan seluruh dunia. Antara program-program kemasyarakatan yang menjadi program tahunan ialah Titian Budi, Mission Awareness Program, RECMO, Kem Bakti Siswa dan pelbagai lagi. Program ini dirangka dan terus menerus memberi sumbangan kepada masyarakat di setiap lapisan. Baru-baru ini telah diadakan kutipan derma untuk masyarakat di Pakistan yang dilanda banjir teruk dan beberapa siri himpunan aman dibuat sebelum ini untuk menimbulkan kesedaran masyarakat mengenai isu Palestin.


Namun, sumbangan-sumbangan ini langsung tidak diambil kira oleh akhbar yang ‘TERSOHOR’ di dalam negara iaitu UTUSAN yang secara rakus mencerca pelajar UTP melalui ruangan RENCANA m/s 9 keluaran 10 Oktober 2010 yang bertajuk Kreativiti menipu, Tronoh menjadi Toronto.

Rencana tersebut memberi impak yang besar kepada para pelajar dan juga universiti kerana telah dipandang sinis dan memberi persepsi negatif UTP di mata masyarakat. Bukan tidak dapat memikirkan tentang keburukan di masa akan datang kepada universiti, tetapi artikel tersebut disiarkan dengan gaya penulisan yang penuh emosi.

Antara ayat yang digunakan ialah

“Ketika mana umat Islam menyuci diri menjalani ibadah puasa, mereka mencuci otak untuk menipu”

“Penipuan itu kononnya didorong rasa meluat terhadap penuntut luar negara yang menghantar gambar mereka dengan latar belakang salji untuk disiarkan diruangan tersebut.”

“..hujah-hujah pendek akal dilontarkan oleh pelajar kini menuntut di peringkat universiti” dan sebagainya.

Ayat-ayat tersebut seolah-olah para pelajar UTP terdiri dari golongan yang teruk dan langsung tidak bermoral. Kesalahan hanya diletakkan seratus peratus kepada pelajar UTP. Perlu diingat hanya seorang pelajar yang menghantar tidak bermakna keseluruhan isi UTP ini adalah teruk.

Tambahan pula pelajar yang menghantar gambar tersebut secara ikhlas memohon kemaafan melalui pihak pengurusan dan meminta mereka yang menyiarkan mengenai Salam Perantauan dari Universiti Toronto, Kanada untuk menarik balik posting mereka di media online. Adakah itu masih tidak cukup lalu perlu dikeluarkan artikel yang mencerca pelajar tersebut dan universiti sendiri?

Isu ini perlu dilihat dari perspektif yang berlainan iaitu meningkatkan kualiti semakan (jika ada) pada tahun-tahun akan datang supaya perkara yang sama tidak berulang. Ini hanyalah ruangan Salam Perantauan yang terdedah bahawa fakta yang diambil adalah dari sumber yang tidak benar; belum lagi kita meneliti artikel-artikel lain yang dibawa oleh akhbar UTUSAN tersebut.

Malas untuk saya untuk saya ceritakan mengenai keburukan UTUSAN, cukuplah sekadar saya memberi link untuk sama-sama kita fikirkan.

http://www.jomkongsi.info/blog/politik/utusan-malaysia-menipu-dan-berbohong-untuk-menjaga-nama-pihak-tertentu

Warga UTUSAN sepatutnya berfikiran matang dalam mencari info yang akan disiarkan. Bukan setahun jagung dalam arena akhbar, UTUSAN telah bermula sebagai UTUSAN MELAYU pada 29 May 1939 dan sepatutnya menjadi contoh kepada yang lain.

Kepada staff UTUSAN, banyak lagi perkara-perkara yang boleh diambil sebagai berita HANGAT yang sangat memerlukan pendedahan oleh staff-staff UTUSAN yang berkaliber. Dan pada hari ini saya mengisytiharkan secara rasmi saya BENCI UTUSAN and you are not a reliable newspaper.

Forum SURVIVAL AKHBAR MELAYU?