Sunday, February 1, 2009

ISU PPSMI: SUATU PERSPEKTIF

Sejak akhir-akhir ini isu ini hangat diperkatakan di seluruh negara. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI sememangnya boleh menjadi key factor atau catalyst kepada kemajuan Malaysia namun adakah kebaikannya mampu menampung ruang-ruang lompong yang terdapat pada sistem ini. Terbaru perasmian Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) dilancarkan di SOGO, Kuala Lumpur yang dihadiri ratusan pejuang pencinta bahasa ibunda dan tidak kurang yang hadir atas dasar politik. Di sini saya akan mengulas pendapat peribadi mengenai isu ini.

Isu ini mungkin bagi sesetengah orang adalah isu sensitif yang melibatkan tentang bahasa ibunda mereka, hak keistimewaan orang Melayu, jati diri dan sebagainya tapi tidak kurang yang menanggapnya sebagai isu remeh temeh yang dimainkan untuk kepentingan politik.

KELEBIHAN PPSMI

PPSMI diwujudkan atas dasar untuk meningkatkan mutu akademik tidak kira luar dan dalam bandar. Penggunaan Bahasa Inggeris yang meluas telah mendesak kerajaan supaya melakukan perubahan terhadap sistem akademik negara untuk memastikan tahap pencapaian akademik setanding dengan pencapaian pelajar di luar negara.

Di dada akhbar seringkali terpampang bahawa dasar PPSMI ini telah berjaya menaikkan prestasi pelajar (kata-kata pak-pak Menteri Malaysia)

Dari sudut Islam, kita perlu akur bahawa Bahasa Inggeris sangat luas penggunaan pada era ini. Tahap penguasaan dai’e dalam Bahasa Inggeris sangat penting untuk memastikan risalah dakwah dapat disampaikan secara efektif dan menyeluruh.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa banyak lagi cara lain yang boleh digunakan selain pengajaran di sekolah yang dilakukan kerajaan sekarang. Namun bagi saya, keadaan di Malaysia mungkin berlainan. Bukan sahaja pelajar berada di zon selesa, rata-rata masyarakat di Malaysia sememangnya berada di zon selesa. Tanpa paksaan seperti PPSMI masyarakat Malaysia pasti tidak memikirkan bagaimana untuk memajukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Mungkin ada yang sedar dari dulu lagi, namun jumlah itu mungkin tidak banyak. Jadi PPSMI ini secara tidak langsung dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dikalangan para dai’e suatu hari nanti.

KEKURANGAN MELEBIHI KELEBIHAN

Bilamana isu ini dikaitkan dengan peningkatan akademik saya pasti berada di dalam golongan mereka yang menyokong. Namun, bagaikan musuh di dalam selimut, ia juga boleh menjadi bahaya yang akan menusuki saraf-saraf manusia sedikit demi sedikit.

Saya tidak akan mengulas lebih lanjut tentang kaitan perjuangan menolak PPSMI dengan dasar sasterawan negara yang menolak kerana mencintai bahasa ibunda dan sebagainya. Bagi saya Melayu adalah Melayu. Yang pasti tidak akan hilang di dunia ini adalah Islam bukan Melayu.

Rasulullah menyebut dalam khutbah terakhir baginda di Lembah Uranah, Gunung Arafah pada 9 Zulhijjah Tahun 10H.

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnahku.”

Ayat-ayat ini sangat menusuk hati bagi mereka yang menggelarkan mereka Muslim. Dalam keadaan hidup yang sangat jauh dari zaman baginda, kita ditinggalkan dengan kitab untuk beriman dengannya dan berpegang pada sunnah baginda supaya tidak sesat.

Dunia zaman sekarang, sudah jauh dengan apa yang diajarkan Al-Quran. Umum tahu bahawa untuk berpegang pada Al-Quran kita perlu mengetahui dan menghayati maksud yang tersurat dan tersirat dalam Al-Quran. Pada kala ini, Al-Quran telah diterjemah kepada pelbagai jenis bahasa termasuk Bahasa Melayu namun tidak semua dapat menghayati Al-Quran walaupun bahasa ibunda mereka adalah Bahasa Melayu.

Jika PPSMI ini bakal melahirkan mereka yang menguasai Bahasa Inggeris dengan baik tetapi belum tentu mereka dapat menghayati Al-Quran itu dalam Bahasa Inggeris. Buktinya ialah zaman kini, walaupun penggunaan Bahasa Melayu meluas dan sudah lama digunakan namun ramai yang tidak mampu menghayati Al-Quran. Ini kan pula menghayati dalam Bahasa Inggeris yang bukan bahasa ibunda mereka.

Kerosakan akhlak akan menjadi-jadi, tambahan pula dengan galakkan menonton filem-filem Inggeris. Penularan budaya kuning dalam negara mungkin akan menjadi lebih cepat dan tindak balas yang dilaksanakan kerajaan yang berpaksi pada sekularisme pasti tidak dapat mengatasi masalah ini.

Dari sudut kebajikan rakyat pula, PPSMI bersifat tidak adil kerana pembelajaran dalam Bahasa Inggeris ini mungkin boleh balance kan dengan menghantar anak-anak ke tuisyen atau kelas tambahan yang memerlukan belanja lebih. Namun bagi petani dan nelayan yang makan pagi kais pagi dan makan petang kais petang, mereka jauh sekali mampu menampung kos tuisyen tersebut. Masyarakat luar bandar mungkin sekali payah untuk mengasimilasikan diri mereka dengan pembaharuan PPSMI ini.

PENYELESAIAN

Kembali kepada Al-Quran. Jika masyarakat lahir dan hidup dengan suasana Islam pasti secara tidak langsung mereka mengetahui tentang kepentingan menguasai ilmu termasuklah Bahasa Inggeris untuk merealisasikan dakwah Islam yang mereka dokong. Tidak perlu kepada paksaan seperti PPSMI, mungkin sahaja Ibnu Sina, Jabir Al-Hayyan dan seangkatan dengannya akan lahir jika kita kembali pada Al-Quran dan menInqilabiyyahkan sistem jahiliah di Malaysia. Sekadar suatu pandangan…